Tuesday, January 4, 2011

Kementerian Pelajaran Patut Lebih Peka, Bukan Leka

03 January 2011
Kementerian Pelajaran Patut Lebih Peka, Bukan Leka
Kenyataan Akhbar Januari 3, 2011

Saya sungguh bersimpati bagi pihak Graduan-graduan IPG (Institut Pendidikan Guru) yang masih gagal ditempatkan oleh KPM. Graduan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) yang telah melalui skim latihan selama 1 ½ tahun sebagai persediaan, kemudian disusuli dengan pengajian intensif selama 4 tahun untuk peringkat ijazah. Mereka dibekalkan dengan pendekatan terkini, kaedah psykologi kanak-kanak, serta teknik pembelajaran terbaru, khusus untuk memberi didikan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah seluruh Malaysia.

Namun dengan kealpaan Kementerian Pelajaran Malaysia, khususnya Menteri Pelajaran yang terlalu sibuk dengan politik kepartian beliau, serta menjaga tepi kain parti lain, akhirnya, graduan musim pertama, yang sepatutnya dialu-alukan untuk memulakan sessi pengajaran mulai januari 2011, terabai, dan gagal untuk dimanfaatkan ilmu dan latihan yang diterima.

Semakan yang dibuat dengan pihak kementerian, dinyatakan bahawa Menteri belum bermesyuarat untuk langkah selanjutnya berkenaan Graduan PISMP musim pertama. Malah ada maklumat yang meyatakan bahawa mereka ini belum lagi didaftarkan dalam skim pekerjaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Saya amat kesal dengan apa yang terjadi. Kita gagal manfaatkan kepakaran terkini dengan kaedah kontemporari untuk mendidik anak bangsa Malaysia, khususnya yang baru memulakan sesi pengajian rasmi di sekolah-sekolah rendah mulai hari ini.

Kepakaran mereka juga terbiar dalam keadaan sekolah-sekolah mengalami kekurangan guru. Sedangkan graduan PISMP ini terlatih khusus untuk mendepani cabaran kanak-kanak di zaman informasi dan teknologi yang mencabar ini. Mereka mampu mengambil alih tanggung-jawab yang disandarkan keatas guru-guru lama yang menghadapi kesukaran untuk membimbingkan kanak-kanak sekarang yang terkadang jauh lebih ke depan dalam hal teknologi, khususnya penggunaan komputer dan internet. Apa lagi sekolah-sekolah yang telah dibekalkan dengan Netbook dan sebagainya.

Kita mengharapkan agar, Menteri Pelajaran segera menyelesaikan, isu graduan dari 23 IPG seluruh Malaysia, dengan tenaga pakar hampir 3,000 orang ini, agar segera ditempatkan di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan.

Menteri Pelajaran juga harus bertanggung-jawab memastikan penempatan segera juga disusuli dengan tindakan JPA menyediakan skim gaji elektronik yang mampu memastikan elaun-elaun mereka dibereskan menjelang akhir bulan pertama perkhidmatan. Agak sukar diterima umum, bahawa graduan yang dilatih selama lima setengah tahun, masih tidak disediakan peruntukan perbelanjaan untuk mereka memulakan tugas rasmi sebagai pendidik anak bangsa Malaysia.

Terima kasih.

Senator Hj. Zamri Yusuf [Ahli Dewan Negara]

sumber : http://kedahlanie.blogspot.com/2011/01/kementerian-pelajaran-patut-lebih-peka.html

No comments: